Assalamualaikum wbt kepada para pembaca budiman blog Dari Dapur Mina yang masih setia mengikuti perkembangan blog ini walaupun hakikatnya blog ini tidak Mina kembangkan dengan menambah entri resipi-resipi baru. Jangan merajuk dulu wahai pembaca sekalian. Semasa blog ini tidak mengembang, yang semakin mengembang nampaknya adalah badan Mina. Mina telah diserang 3G. 3G stand for gemuk, gendut & gebu.
Walaubagaimanapun pembaca sekalian, walauapapun yang sedang anda lakukan, jangan biarkan obesiti menghantui kehidupan dan mengganggu aktiviti seharian anda. Susun masa dengan efisen dan pastikan aktiviti senaman dimasukkan 30 minit sehari di dalam jadual harian anda. Anda tidak perlu susah-susah berjoging di luar rumah untuk bersenam. Di hadapan laptop dengan memasang DVD aerobik pun anda boleh bersenam hingga mengeluarkan peluh mencurah-curah tanpa dapat dibendung. Lagipun, keadaan di luar sekarang ini amatlah tidak selamat untuk kaum wanita melakukan aktiviti joging.
Mina ini memanglah, kalau sudah mula menulis tu, banyak sangat yang ingin Mina sampaikan. Sebenarnya tujuan Mina kembali ke alam maya ini adalah untuk berkongsi dengan pembaca sekalian satu resipi yang tersangatlah istimewanya. Pasti meletop. Resipi itu Mina namakan Rendang Kerang. Amacam?. Gerun tak?. Jom kita saksikan visual yang telah Mina sediakan.
Bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak Rendang Kerang ialah kerang, santan, daun kunyit, kerisik, rempah rendang, minyak, garam, serbuk perasa, gula & bahan-bahan kisar : kunyit hidup, halia, lengkuas, bawang putih, bawang merah, cili kering, serai, cili api ( jika ingin lebih pedas ).
First of all, bersihkan kerang dan rebus kerang itu dengan menggunakan sedikit air. Gunakan api yang kuat. Nampak tak kulit kerang di dalam periuk itu sudah ternganga?. Itu menandakan yang kerang itu telah pun masak dengan sejahteranya.
Perhatikan gambarajah di atas baik-baik. Kerang yang telah direbus itu kemudiannya perlu dikopek kulit. Bahan-bahan kisar tadi perlu dikisar dengan sedikit air dan campurkan dengan 2 sudu rempah rendang. Daun kunyit tolong dihiris ikut suka hati ya. Ok, step seterusnya, jom kita menumis.
Panaskan minyak ke dalam kuali. Masak rendang lebih mudah jika kita menggunakan kuali sebab masakan ini perlu dikacau selalu. Ada faham?
Apabila minyak sudah panas, sila masukkan rempah rendang dan bahan kisar yang telah digaul rata sebentar tadi. Gunakan tahap api yang sederhana dan biarkan bahan tumisan itu garing secara naturally. Jika pembaca perasan, Mina hanya menggunakan sedikit sahaja minyak untuk menumis kerana masakan ini memang rich dengan lemak, so Mina cuba untuk mengurangkan tahap kalestrolnya. Lagipun sebagaimana yang pembaca tahu, Mina suka menggunakan minyak jagung didalam masakan.
Setelah bahan tumisan itu garing, reti-retikanlah diri untuk memasukkan kerisik. Kuantiti kerisik ikut suka kamu lah Cik Ton. Kalau agak-agak nak meninggal cepat, sila masukkan banyak-banyak. Tetapi jangan pula salahkan Mina jika sesuatu yang tidak diingini berlaku dengan kesihatan anda. Baiklah, sila kacau kerisik itu hingga sekata.
Kemudian, masukkan santan. Mina hanya menggunakan seringgit saja. Maklumlah Mina nak lari dari situasi 3G. Kacau lagi.
Bila dah kacau beginilah rupanya. Mesti pembaca mengumpat Mina di dalam hati. 'Kenapa nampak tak ada minyak pun?'. Hahaha..inilah tip dan rahsia yang pakar masakan dunia tidak memberitahu anda. Hari ini biarlah Mina yang memecahkan rahsianya. Tipnya ialah, masak kuah rendang ini dengan menggunakan api yang kecil dan pastikan anda selalu mengocak kuah rendang ini. Kacau sekali-sekali untuk memastikan tiada terjadi kerak dibawah hinggalah kuah ini garing dan terbit minyak. Jom kita lihat gambar seterusnya.
Taraaa...nampak tu. Kuah rendang Mina sudahpun naik minyak dan garing dengan selengkapnya. Time ini bolehlah pembaca memasukkan garam, sedikit gula & serbuk perasa (jika suka). Rendang wajib ada rasa manis sedikit ya. Pastikan hanya manis sedikit. Jika tidak, rasa rendang anda akan hambar sehambarnya.
Part ini yang paling Mina suka. Masukkan kerang yang sudah direbus tadi dengan lemah gemalainya dan taburkan hirisan daun kunyit. Akhir sekali, kacau hingga sekata.
Beginilah hasilnya rupa Rendang Kerang setelah dikacau dengan elok dan sopan santunnya. Jangan lupa rasa tahap kemasinan, kemanisan dan kelemakannya mengikut citarasa anda ya.
Rendang Kerang ini sesuai dimakan bersama Nasi Putih, Nasi Lemak, Roti dan Biskut. Kalau anda hendak kirim buat bekalan saudara mara anda yang ingin menunaikan haji, pastikan anda keringkan lagi kuah rendang tadi. InsyaAllah, Rendang Kerang ini tidak akan basi. Dengan syarat tahap kebersihannya semasa penyediaan masakan ini dijaga dengan rapi. Pastikan santan juga merupakan santan yang baru. Kalau hendak mudah, anda boleh gunakan santan kotak yang telah disterilkan. Pasti Rendang Kerang anda tidak basi dan enak dimakan dengan apa saja. Ala-ala Serunding Kerang gitu.
Ini pula adalah gambar close up. Mina sertakan gambar ini adalah dengan niat untuk membangkitkan selera anda dan semoga anda tidak malas ke dapur untuk mencuba resipi Rendang Kerang yang baru sahaja Mina persembahkan kepada anda. Baiklah pembaca sekalian, tangan Mina sudah lenguh menaip. Mina ingin tidur barang seminit dua untuk merehatkan diri. Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan